Kempen yang melibatkan YouTuber maya YouTuber_maya

Oleh kerana popularitinya yang besar, syarikat dan organisasi telah menggunakan VTuber sebagai kaedah pengiklanan atau untuk membawa perhatian kepada produk atau perkhidmatan. Apabila SoftBank mengumumkan pelancaran iPhone XS dan XS Max pada tahun 2018, Kizuna AI muncul di majlis itu dan juga mempromosikannya di salurannya. Beliau juga kini menjadi duta Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun. Kerajaan Wilayah Ibaraki telah mendebut seorang lagi bintang maya bernama Ibara Hiyori dengan menyasarkannya untuk menjadi YouTuber maya sebagai simbol Ibaraki. Hiyori ialah VTuber pertama yang digunakan oleh kerajaan perbandaran atau wilayah.[5]

Pada bulan Ogos 2018, Wright Flyer Live Entertainment, yang dimiliki oleh GREE, Inc., telah melancarkan aplikasi mudah alih yang membolehkan bintang-bintang maya menstrim video secara langsung di samping menjana pendapatan dan berhubung dengan penonton mereka. Dalam suatu sidang akhbar di Tokyo, ketua Wright Flyer Live Entertainment menyatakan bahawa firma itu mahu membantu bintang-bintang maya, tetapi turut menyatakan bahawa "setakat meningkatkan jumlah [bintang maya] tidaklah begitu berkesan. Kami mahu mereka terus melakukan aktiviti mereka. (Demikian) adalah penting untuk mereka terus mendapat peminat dan menjana pendapatan. Oleh itu, kami menyediakan platform untuk menyokongnya."[6] Hal ini diikuti oleh pelaburan sebanyak ¥10 bilion ($89.35 juta) oleh syarikat induk Gree ke atas VTuber, dengan sasaran keuntungan sebanyak ¥10 bilion menjelang tahun 2020.[1]